Wednesday, August 5, 2009

masa...telah berlalu, sedang berlalu dan akan berlalu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Demi masa,
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,
kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran

surah al-asr : 1-3

inilah tazkirah yang seringkali kedengaran selepas solat asar suatu ketika dahulu semasa aku masih lagi berada di maahad. tazkirah yang sangat besar maknanya ini, akan dapat dinilai betapa besarnya erti dan maksud oleh sesiapa yang tahu menghayati.

ingin kuceritakan sebuah kisah yang terjadi kepadaku dan teman-teman serumahku seramai sembilan orang berkaitan dengan masa. baru dua hari lepas peristiwa ini terjadi iaitu kami semua diberi amaran lisan oleh tuan rumah kami supaya sekiranya lambat membayar sewa rumah seperti yang ditetapkan, kami akan diberi notis berpindah menjelang hujung bulan nanti. ini terjadi kerana kami terlambat dua hari membayarnya.

aku bukan ingin menuding jari siapa yang bersalah atau mempertikaikan keputusan tuan rumah yang memberi amaran (dengan nada marah). sememangnya kami yang bersalah kerana lewat mengutip duit daripada penghuni-penghuni banglo kayu (seperti dalam alamat) iaitu kami sendiri. ada daripada kami yang terkilan dan meluahkan isi hati menyatakan, tuan rumah perlu faham yang kita ini student, bukannya sudah bekerja. bukan semua kami mendapat biasiswa (JPA). malah pinjaman PTPTN juga lambat masuk. bukan semua kami dari kalangan orang berada, malah ada yang kedua ibu bapa sudah tidak bekerja dan sebagainya.

aku mendengar sambil merenung sejenak...bersikap terbuka dengan mengakui kesalahan kami, dalam masa yang sama memahami keadaan teman-teman serumah yang menyatakan tuan rumah juga perlu ada sikap bertolak ansur, kerana kami tiada pengalaman tinggal di rumah sewa. hubungan teman serumah dengan tuan rumah agak tegang sedikit dan ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati untuk mencari rumah lain.

setiap orang ada pendapat masing-masing. bagiku, itu satu pandangan yang boleh diterima dan sebaliknya. kerana, walau macamana perangai tuan rumah sekalipun, dia tetap tuan rumah dan ada haknya. dia berhak memberi amaran kepada kami hatta menghalau kami sekalipun itu hak dia. akan tetapi itu tidak bermakna kami sebagai penyewa boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

ibarat tarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. inilah yang dikatakan dengan sikap toleransi dalam islam. apapun, kami perlu menjaga hubungan baik dengan tuan rumah dan bersikap menepati janji dengan membayar sewa rumah tepat pada masanya. sama seperti menepati janji ke kuliah, kelas, meeting dan sebagainya...

masa, telah berlalu, sedang berlalu, dan akan terus berlalu...
semalam sudah berlalu, ambillah pengajaran daripadanya,
sekarang, masa sedang berlalu, manfaatkan sebaik-baiknya,
esok, akan terus berlalu, buatlah perancangan sebaiknya (meskipun kita tidak mengetahui adakah kita masih di dunia ini atau di alam lain)...