Tuesday, February 15, 2011

Tenanglah Diri


Hatiku resah,

Perasaanku gundah,

Di dunia yang penuh indah,

Tersebarnya fitnah,

Berleluasanya mehnah.


Hatiku gulana,

Melihat manusia alpa dengan dunia,

Diri dikuasai noda dan dosa,

Beginikah realiti masyarakat kita?

Aku terkesima.


Tenanglah hati,

Berdoalah pada Ilahi,

Mengharap masih ada saki baki,

Umat Rasulullah yang sejati,

Melaksanakan Islam dengan sepenuh hati,

Aku menanti.

Tuesday, February 8, 2011

Pesan Taqwa untuk Pemerintah*

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”

Wahai Amirul Mukminin!

Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.

Hendaklah tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, dan bersimpatilah dengan musibah yang menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin!

Urwah bin Ruwain berkata: “Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibril bertanya: ‘Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?’”

Wahai Amirul Mukminin!

Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya tempat letak panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat al-Tabarani no. 6134)

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya jika sebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin!

Ingatlah kata-kata Umar al-Khattab: “Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”

Wahai Amirul Mukminin!

Allah telah berfirman yang bermaksud: “Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turut kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah.” (Surah Sad 38: 26)

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota dari badan. Kemudian ia akan dikembalikan. Lalu dihitung amalannya. Kalau dahulu ia berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun).”

Wahai Amirul Mukminin!

Umar r.a. berkata: “Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:

1. Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. Ia seperti mujahid (orang yang berjihad).

2. Amir yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Ia berada di tepi jurang kebinasaan, kecuali Allah menurunkan rahmat ke atasnya.

3. Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya tetapi membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia berada di dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: ‘Pengembala yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa diri sendiri.’

4. Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa.

Wahai Amirul Mukminin!

Umar al-Khattab telah berdoa: “Wahai Tuhanku! Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring kepada kebenaran, baik yang dekat atau yang jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walau sekelip mata.”

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kepada Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya dia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya dia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.

*Surat ini ditulis dan diutus oleh Imam al-Auza'i kepada khalifah al-Mansur, pemerintah Abbasiyyah.


Ulasan

Tajuk: Pesan Taqwa untuk Pemerintah

Penulis: Muhammad Jihad

Media: Majalah Solusi

Tema: Keadilan Pemimpin kepada rakyat berteraskan ketaqwaan kepada Allah

Idea topik: Nasihat dan teguran ke arah ketaqwaan kepada pemimpin

Kekuatan : Penulis artikel membawakan kepada kita sepucuk surat yang telah ditulis oleh Imam al-Auza'i kepada khalifah al-Mansur. Walaupun tiada ulasan daripada penulis sendiri tentang isi kandungannya, kita sendiri dapat memahaminya dengan mudah apa yang terkandung di dalam surat tersebut. Kesemua nasihat mahupun teguran kepada pemerintah pada zamannya itu, masih boleh digunapakai di zaman sekarang. Ternyata surat ini tidak lapuk ditelan zaman dan sepatutnya pemimpin Islam sedia ada sekarang membaca, menghayati serta mengamalkan isi kandungan yang terdapat di dalam sepucuk surat ini.

Isi-isi berkaitan pemerintahan seperti peringatan kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka, kebenaran dan keadilan kepada rakyat, kekuasaan hanyalah bersifat sementara, kebertanggungjawaban pemerintah kepada rakyat dan pegawai-pegawai di bawah pemimpin juga perlu bertaqwa kepada Allah, bukan diri sendiri sahaja.

Tambahan: sekiranya surat ini dapat dihuraikan penulis dengan terperinci apa maksud tersurat dan tersirat daripada rangkap-rangkap nasihat, dan membawakan contoh-contoh yang boleh digunapakai di zaman sekarang, ini akan menguatkan lagi artikel ini.


Sunday, January 23, 2011

c. Hikmah diturunkan al-Quran secara beransur-ansur

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur ialah:


1. Agar lebih mudah dimengerti dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus banyak.


2. Di antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kemaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya diturunkan sekaligus.


3. Turunnya sesuatu ayat dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi lebih mengesankan dan lebih berpengaruh di hati.


4. Memudahkan penghafalan. Orang-orang musyrik yang telah menanyakan mengapa al-Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana yang tersebut dalam al-Quran surah al-Furqan (25) ayat 32 iaitu:


(وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً ۚ كَذَ‌ٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا ﴿٣٢


"Berkatalah orang-orang kafir: "Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan sekali turun sahaja?". Demikianlah supaya Kami perkuat hatimu (Muhammad) dengannya dan Kami membacakannya dengan tartil (teratur dan benar)"


5. Di antara ayat-ayat ada yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Abbas ra, hal ini tidak dapat terlaksana kalau al-Quran diturunkan sekaligus.

Thursday, January 20, 2011

b. Cara-cara al-Quran diwahyukan

Nabi Muhammad SAW dalam hal menerima wahyu mengalami bermacam-macam keadaan, di antaranya:


1. Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini Nabi SAW tidak melihat sesuatu apapun, hanya beliau merasakan bahawa itu sudah berada saja dalam kalbunya. Mengenai hal ini Nabi SAW mengatakan:


"Ruhul Qudus mewahyukan ke dalam kalbuku," lihat surah al-Syuura (42) ayat 51.


2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa seorang laki-laki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar akan kata-kata itu.


3. Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan oleh Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya berpancaran keringat, meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Kadang-kadang unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat, bila wahyu itu turun ketika beliau sedang menunggang unta. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit:


"Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat Rasulullah SAW ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang keras dan keringatnya bercucuran seperti permata. Kemudian, setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa."


4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW, tetapi tidak seperti seorang laki-laki. Keadaannya benar-benar seperti rupanya yang asli. Hal ini tersebut dalam al-Quran surah al-Najm (53) ayat 13 dan 14.


(وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ ﴿١٣﴾ عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ ﴿١٤


"Sesungguhnya (Muhammad) telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (dia berada) di Sidratul Muntaha."

Wednesday, January 19, 2011

Sejarah al-Quran


1. Apakah al-Quran itu?


a. Erti kata Quran dan apa yang dimaksudkan dengan al-Quran


'Quran' menurut pendapat yang paling kuat seperti yang dikemukakan Dr. Subhi al-Salih beerti bacaan, asal katanya 'qaraa'. Kata al-Quran itu berbentuk masdar dengan erti isim maf'ul iaitu maqruk (dibaca).


Di dalam al-Quran sendiri ada pemakaian kata 'Quran' dalam erti demikian seperti termaktub dalam ayat 17 dan 18 Surah al-Qiyaamah (75):


(إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧﴾ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ ﴿١٨


Ertinya : "Sesungguhnya mengumpulkan al-Quran (di dalam dadamu) dan (menetapkan) bacaannya (pada lidahmu) itu adalah tanggungan Kami. (Kerana itu) Jika Kami telah membacakannya, hendaklah kamu ikuti bacaannya."


Kemudian dipakai kata 'Quran' itu untuk al-Quran yang dikenali sekarang ini. Adapun definisi al-Quran ialah:


"Kalam Allah SWT yang merupakan mu'jizat yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis di mashaf dan diriwayatkan dengan mutawaatir (berperingkat-peringkat) serta membacanya adalah ibadah."


Dengan definisi ini, Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi-nabi selain Nabi Muhammad SAW tidak dinamakan al-Quran seperti Kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa AS atau Kitab Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa AS. Demikian pula Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, seperti Hadis Qudsi, tidak pula dinamakan al-Quran.

Tuesday, January 18, 2011

Buku : PKPIM 5 Dasawarsa



Sejarah dan perjuangan PKPIM sepanjang 5 dasawarsa dalam persada dakwah dan generasi muda. Sumbangan PKPIM sebagai pertubuhan pelajar Islam peringkat kebangsaan yang telah mewarnai perubahan masyarakat Islam di Malaysia, sebagai rakan pembina negara dan suara advokasi anak muda yang vokal. Prinsip wasotiyah, non-partisan, dan berbudaya ilmu sebagai teras kekuatan PKPIM.



"Jika direnung kembali akan sejarah dan perkembangan MBM dan gerakan belia seluruhnya di negara ini, nyata sekali bahawa hanya dengan bergabungnya pertubuhan pelajar, terutamanya PKPIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM - telah tiada), gerakan belia telah muncul sebagai suatu kumpulan pendesak dan tenaga politik yang memberikan perhatian kepada berbagai-bagai bentuk masalah dalam kehidupan rakyat, dan sanggup bertindak untuk menyatakan kepada pihak berkuasa."
- Hussain Mohamed, Belia di Malaysia : Masalah, Gerakan dan Masa Depan (1997)

"Without this group, ABIM and PKPIM in particular, few voices would be raised about continuing hardship endured by many rural areas, or against restrictions on political freedom and the problem of corruption."
- Sarjana Australia, N. J Funston

"Pimpinan PKPIM akan berusrah dengan Prof Syed Mohd Naquib Al-Attas setiap hari selepas habis kelas untuk berbincang tentang permasalahan dan cabaran semasa yang melingkari ummat, sehingga berjaya membina kerangka faham yang jelas tentang peranan mereka sebagai jurubicara ummat."
- Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, IBS Buku, Selangor (1990)

"Setidak-tidaknya sudah ada saling cabar-mencabar antara GAPENA dan Kumpulan Prihatin yang disifatkan sebagai pertubuhan yang longgar kerana tidak didaftarkan secara sah. tapi, inti semangat perjuangan Kumpulan Prihatin tak boleh dipandang rendah kerana landasan wadah ini menempatkan golongan cendikiawan universiti. "Untuk pengetahuan semua", dalam nada suaranya yang rendah Prof Abu Bakar Hamid menyebut, "ada sebuah persatuan muda yang masih bergiat cergas dalam urusan membantah PPSMI ini. Nama persatuan itu ialah PKPIM."
- Ali Bukhari Amir, 22 Disember 2008

"Akhirnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dipinda. Khamis lalu (17 Julai 2008), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin telah membentangkan cadangan meminda akta ini di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama dan bakal dibahaskan dalam sidang Ogos ini. Ini bermakna bahawa perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), iaitu organisasi paling konsisten dalam hal ini, hampir berhasil."
- Dato' Saifuddin Abdullah, Berita Harian 22 Julai 2008

Thursday, December 2, 2010

Piala AFF, Piala Emas Raja-Raja, Piala Malaysia

Kumpulan A saingan Piala AFF Suzuki 2010


Malaysia 1
Norshahrul Idlan Talaha 18'

Indonesia 5
Mohd. Asraruddin Putra Omar (gol sendiri) 22'
Christian Gonzales 33'
Muhammad Ridwan 52'
Arif Suyono 77'
Irfan Haarys Bachdim 90'


Separuh Akhir 1 Piala Emas Raja-raja


Kelantan 3
Mohd. Aris 55'
Mohd. Ramzul
Mohd. Aris 90'

Terengganu 0


Johor 1
Mohd. Fitri 7'

Kedah 3
Shafizan Hashim 40'
Wan Mohd. Asraf Ali 67'
Hattaphon Bun Ann 77'


Piala Malaysia


Juara Piala Malaysia mendapat bonus RM200 000