Tuesday, February 15, 2011

Tenanglah Diri


Hatiku resah,

Perasaanku gundah,

Di dunia yang penuh indah,

Tersebarnya fitnah,

Berleluasanya mehnah.


Hatiku gulana,

Melihat manusia alpa dengan dunia,

Diri dikuasai noda dan dosa,

Beginikah realiti masyarakat kita?

Aku terkesima.


Tenanglah hati,

Berdoalah pada Ilahi,

Mengharap masih ada saki baki,

Umat Rasulullah yang sejati,

Melaksanakan Islam dengan sepenuh hati,

Aku menanti.

Tuesday, February 8, 2011

Pesan Taqwa untuk Pemerintah*

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa sahaja dalam kalangan pemerintah, apabila mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya diharamkan syurga untuknya.”

Wahai Amirul Mukminin!

Sesiapa yang benci kepada kebenaran, sesungguhnya ia benci kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu benar lagi membenarkan.

Hendaklah tuanku tegakkan kebenaran dan keadilan ke atas rakyat. Tutuplah aurat (keaiban) mereka. Janganlah dikunci pintu rumah tuanku atau mengadakan hijab (penghalang) antara tuanku dengan mereka. Hendaklah tuanku bergembira dengan nikmat yang mereka terima, dan bersimpatilah dengan musibah yang menimpa mereka.

Wahai Amirul Mukminin!

Urwah bin Ruwain berkata: “Pernah Rasulullah memiliki pelepah kurma yang digunakan untuk bersugi sehingga menakutkan kaum munafik. Kemudian turunlah Jibril bertanya: ‘Hai Muhammad! Apakah pelepah kurma ini engkau gunakan untuk menghancurkan atau menakutkan hati umatmu?’”

Wahai Amirul Mukminin!

Relakanlah dirimu dengan dirimu! Dan carilah keamanan daripada Tuhanmu! Gemarlah kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya tempat letak panah yang dimiliki oleh ahli syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (Riwayat al-Tabarani no. 6134)

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya jika sebuah kerajaan yang sebelummu itu kekal, nescaya ia tidak akan sampai kepadamu. Begitu jugalah, ia tidak akan kekal di tanganmu atau sesiapa sahaja.

Wahai Amirul Mukminin!

Ingatlah kata-kata Umar al-Khattab: “Jika mati anak kambing di tepi sungai Furat (Iraq), nescaya aku takut akan dipertanggungjawabkan mengenainya di akhirat kelak! Maka bagaimana pula halnya dengan rakyatmu yang tidak beroleh keadilan daripadamu sedangkan ia sangat hampir denganmu?”

Wahai Amirul Mukminin!

Allah telah berfirman yang bermaksud: “Hai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi. Sebab itu putuskanlah sesuatu perkara antara rakyatmu dengan kebenaran. Janganlah engkau turut kemahuan nafsumu, nanti engkau akan disesatkan dari jalan Allah.” (Surah Sad 38: 26)

Wahai Amirul Mukminin!

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap pemerintah akan dibawa pada hari kiamat dengan tangannya dirantaikan ke leher. Ia hanya dapat dibuka oleh keadilannya. Ia diberhentikan di atas titian sirat di atas neraka yang akan bergerak dengan suatu gerakan yang akan menghilangkan seluruh anggota dari badan. Kemudian ia akan dikembalikan. Lalu dihitung amalannya. Kalau dahulu ia berbuat jahat, nescaya pecahlah titian itu, lalu ia terhumban ke dalam neraka tujuh puluh kharif (jarak masa setahun).”

Wahai Amirul Mukminin!

Umar r.a. berkata: “Amir (pemerintah) itu ada empat jenis:

1. Amir yang kuat yang dapat mengawal diri dan pegawai-pegawainya. Ia seperti mujahid (orang yang berjihad).

2. Amir yang kuat yang dapat mengawal dirinya sendiri sahaja dan tidak pegawai-pegawainya. Ia berada di tepi jurang kebinasaan, kecuali Allah menurunkan rahmat ke atasnya.

3. Amir yang dapat mencegah pegawai-pegawainya tetapi membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu. Ia berada di dalam keadaan yang membahayakan sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: ‘Pengembala yang terjahat itu bahaya yang menghancurkan. Dia itu binasa diri sendiri.’

4. Amir yang membiarkan dirinya dan pegawai-pegawainya menurut hawa nafsu. Mereka kesemuanya akan binasa.

Wahai Amirul Mukminin!

Umar al-Khattab telah berdoa: “Wahai Tuhanku! Sekiranya menurut ilmu-Mu, aku akan terpengaruh apabila dua rakyatku dihadapkan kepadaku, kepada yang miring kepada kebenaran, baik yang dekat atau yang jauh, maka janganlah Engkau biarkan aku walau sekelip mata.”

Wahai Amirul Mukminin!

Sesungguhnya yang paling berat ialah berdiri tegak untuk menegakkan kebenaran kepada Allah. Yang paling mulia di sisi Allah ialah taqwa. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan mentaati Allah, nescaya dia akan diangkat dan dimuliakan oleh Allah. Sesiapa yang mencari kemuliaan dengan membuat maksiat kepada Allah, nescaya dia akan dihina dan direndahkan oleh Allah.

*Surat ini ditulis dan diutus oleh Imam al-Auza'i kepada khalifah al-Mansur, pemerintah Abbasiyyah.


Ulasan

Tajuk: Pesan Taqwa untuk Pemerintah

Penulis: Muhammad Jihad

Media: Majalah Solusi

Tema: Keadilan Pemimpin kepada rakyat berteraskan ketaqwaan kepada Allah

Idea topik: Nasihat dan teguran ke arah ketaqwaan kepada pemimpin

Kekuatan : Penulis artikel membawakan kepada kita sepucuk surat yang telah ditulis oleh Imam al-Auza'i kepada khalifah al-Mansur. Walaupun tiada ulasan daripada penulis sendiri tentang isi kandungannya, kita sendiri dapat memahaminya dengan mudah apa yang terkandung di dalam surat tersebut. Kesemua nasihat mahupun teguran kepada pemerintah pada zamannya itu, masih boleh digunapakai di zaman sekarang. Ternyata surat ini tidak lapuk ditelan zaman dan sepatutnya pemimpin Islam sedia ada sekarang membaca, menghayati serta mengamalkan isi kandungan yang terdapat di dalam sepucuk surat ini.

Isi-isi berkaitan pemerintahan seperti peringatan kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka, kebenaran dan keadilan kepada rakyat, kekuasaan hanyalah bersifat sementara, kebertanggungjawaban pemerintah kepada rakyat dan pegawai-pegawai di bawah pemimpin juga perlu bertaqwa kepada Allah, bukan diri sendiri sahaja.

Tambahan: sekiranya surat ini dapat dihuraikan penulis dengan terperinci apa maksud tersurat dan tersirat daripada rangkap-rangkap nasihat, dan membawakan contoh-contoh yang boleh digunapakai di zaman sekarang, ini akan menguatkan lagi artikel ini.